Saturday, December 5, 2009

ADUN janji tangani kerugian mangsa banjir

Kerajaan Negeri akan sedaya upaya mengurangkan kerugian dan bebanan ditanggung rakyat akibat banjir gelombang ketiga yang melanda beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Asha’ari Idris berkata, walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak besar, kerajaan berharap ia dapat menampung perbelanjaan dan kerugian mangsa.

Selain itu, Ashari berkata, Kerajaan Negeri juga akan turut membantu mangsa banjir khasnya dalam kalangan petani yang menanggung kerugian besar akibat banjir melanda daerah ini sejak tiga hari lalu.

“Selain bantuan wang, Kerajaan Negeri juga akan cuba membantu memulihkan kebun dan sawah penduduk dengan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertanian. Ini cara kita membantu mangsa kerana tidak mahu mereka hidup susah.

“Kita akan cuba bantu mereka yang memerlukan dengan apa juga cara sekali pun,” selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Dewan Sivik Sungai Tong di sini.

Bagaimanapun, Asha’ari berkata, mangsa banjir perlu memaklumkan kerugian yang ditanggung kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pejabat Daerah Setiu (PDS) terlebih dahulu bagi memudahkan bancian dibuat.

Mengenai majlis berkhatan beramai-ramai berkenaan, seramai 231 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun dari 35 buah kampung dalam DUN Langkap menyertai program tersebut yang diadakan secara tahunan itu.

Mengulas lanjut, Ashari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, berkata, bagaimana pun setakat ini, beliau tidak dapat memberitahu jumlah sebenar peruntukan yang akan digunakan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment