Kepulangan jemaah haji bagi fasa kedua tahun ini akan sampai secara berperingkat bermula semalam sehingga 23 Disember nanti dengan lima penerbangan.
Pengarah Lembaga Tabung Haji Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, penerbangan pulang jemaah haji tiba di lapangan terbang Sultan Mahmud pada jam 8 malam dengan pesawat KT10.
“Bagi penerbangan kedua pula tiba esok dengan pesawat KT14 pada jam 3.15 petang diikuti pesawat yang ketiga KT17 pada 15 Disember jam 8.15 pagi.
“Manakala penerbangan keempat tiba pada 22 Disember dengan pesawat KT40 jam 4.05 petang dan terakhir pada 23 Disember jam 3.05 petang menaiki pesawat KT42,” katanya.
Menurutnya, hanya penerbangan pertama yang mengalami perubahan jadual dan diharapkan keluarga atau waris boleh bersiap sedia serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di pekarangan lapangan terbang bagi penerbangan seterusnya.
Sementara itu, Mokhzani berkata, jemaah yang berangkat ke Makkah akan balik dengan penerbangan yang sama dan hanya kes terpencil sahaja dalam kalangan jemaah pulang dengan penerbangan lain sekiranya tidak dapat menyelesaikan ibadat haji dalam masa yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment