Sunday, December 20, 2009

Angin Kencang Dan Laut Bergelora Sehingga Rabu

Angin kencang dan laut bergelora yang berlaku di perairan Condore, Layang-Layang dan Reef North dijangka berterusan sehingga Rabu.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini hari Sabtu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Keadaan yang sama turut berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dan Palawan yang dijangka berterusan sehingga Rabu.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain daripada itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah dengan kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga Rabu.

Ribut petir yang berlaku di perairan Johor Timur, Pahang dan Sarawak dijangka berterusan sehingga pagi Ahad yang menyebabkan angin kencang sehingga 40 km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter.

No comments:

Post a Comment