Wednesday, December 16, 2009

Batik Terengganu bakal guna kepakaran Filipina

Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan negara Filipina dalam usaha memantapkan bidang teknikal dan reka bentuk batik dan songket Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, Filipina dipilih kerana kepakaran mereka dalam menghasilkan pelbagai jenis produk kraf mengikut peredaran masa sekali gus mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Katanya, ini juga bakal mengatasi masalah lambakan produk batik dan songket di seluruh negara.
"Kita memerlukan kepakaran dalam menghasilkan pelbagai kreativiti bukan sahaja dalam corak batik dan songket bahkan dalam menghasilkan kepelbagaian reka bentuk terkini bagi menepati pasaran luar negara.
"Filipina merupakan negara yang amat mahir dalam bidang tersebut memandangkan mereka turut mampu menjadikan bahan-bahan berasaskan pertanian seperti serat nanas sebagai tekstil," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Festival Batik, Songket dan Kraf Terengganu 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Mohd. Kamil Mohd. Ali dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu, Azmi Razik.

Festival yang julung kali diadakan tahun ini berbeza berbanding tahun lalu kerana menerapkan empat penganjuran program utama iaitu Terengganu Batik Mega Sale, Piala Seri Iman, Anugerah Usahawan Terengganu 2009 dan Malam Gala.

Seramai 61 usahawan tempatan menyertai festival tersebut dengan mempamerkan pelbagai batik dan songket terbaru keluaran syarikat mereka bermula 10 hingga 20 Disember ini.

Mohamed menambah, bagi memajukan industri batik dan songket Terengganu, pengusaha-pengusaha dan pereka-pereka fesyen perlu dididik untuk menghasilkan produk mereka yang bersesuaian dengan permintaan pasaran.

Ujarnya, pereka-pereka muda juga perlu menghasilkan lebih banyak produk berasaskan batik dan songket bagi tujuan promosi.

"Tidak salahnya pemakaian batik dan songket dipakai ketika tiada acara majlis formal contohnya sebagai uniform pelayan hotel ataupun restoran.

"Melalui cara tersebut, lebih mudah ia dikenali sekali gus dapat mempromosikan keunikannya di mata dunia," jelasnya.

No comments:

Post a Comment