Saturday, December 19, 2009

Dr Yusof tokoh Maal Hijrah 1431H, Terengganu tiada

Tahniah Sri Dr Mohamed Yusof Mohamed Noor kerana terpilih Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan.

Beliau antara dua tokoh yang terpilih tahun ini selain Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, dari Mesir.

Bagaimanapun, di KUALA TERENGGANU, tiada pemenang tokoh maal hijrah kerana tiada yang betul-betul

layak untuk dianugerahkan tetapi imam yang mempunyai 16 orang anak telah dipilih sebagai tokoh keluarga mithali yang diadakan di Taman Tamadun Islam.

Dr Al-Qaradawi, 83, yang juga Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah Islam di Universiti Qatar terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan kerana jasanya sebagai pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang amat disegani di seluruh dunia.

Beliau amat peka dengan permasalahan ummah terutamanya keperluan umat Islam di negara lain sehingga beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Majlis Fatwa Eropah dan Ahli Pusat Pengajian Islam di Oxford.

Beliau berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar turut memiliki Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dalam bidang fiqh al-Zakat serta mendapat pujian dan menjadi kebanggaan majoriti sarjana Islam termasuk al-Mawdudi dan Muhammad Mubarak.

Dr Mohamed Yusof, 68, Pengerusi Felda terpilih kerana jasanya meningkatkan kedudukan masyarakat Islam terutamanya melalui bidang pendidikan dan politik.

Anak kelahiran Besut, Terengganu itu berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar juga pemegang PhD dalam bidang Falsafah di Universiti Kaherah, Mesir.

Kini, selain Pengerusi Kumpulan Felda, Dr Mohamed Yusof turut memberi sumbangan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Pengerusi Majlis Penasihat Tabung Haji dan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia.

Dahulu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga pernah bertugas sebagai pensyarah dan Dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

1 comment:

  1. Syukur. Satu usaha yang baik untuk menghargai umat Islam yang mempunyai ketokohan.

    ReplyDelete