Saturday, December 19, 2009

Bapa 16 anak dinobat Tokoh Keluarga Mithali Terengganu

Siapa sangka kesabaran Abd. Razak Yusof, 70, membesarkan anak seramai 16 orang berbaloi dan beliau kini mampu tersenyum apabila kesemua anaknya berjaya dalam hidup.

Berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak serta mempunyai isteri yang memahami tanggungjawabnya bagi membantu menjaga anak-anak ketika ke laut mencari rezeki, menjadi resipi kebahagiaan dan kejayaan hidupnya.

Lebih membanggakan apabila 11 daripada 16 orang anaknya berjaya ke menara gading.
Berkat kegigihan mendidik dan menjaga anak-anaknya itu, Abd. Razak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2009 yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1431 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Abd. Razak ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur apabila penat lelah menjaga keluarganya selama lebih 30 tahun lalu berbaloi apabila melihat kejayaan anak-anaknya tanpa mereka lupa segala jasa ibu bapa.

Beliau tidak menyangka kegigihannya mendapat perhatian kerajaan sehingga diumumkan sebagai Tokoh Keluarga Mithali peringkat negeri kali ini.

"Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seramai ini memandangkan saya hanya seorang nelayan, bayangkan saya terpaksa meninggalkan keluarga selama tiga bulan untuk ke laut suatu masa dulu semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

"Kini saya mampu menarik nafas lega apabila anak-anak pula menjaga saya dan isteri dengan sebaiknya," katanya.

Tambahnya, setiap malam sebelum tidur, beliau akan mendoakan agar dikurniakan zuriat yang baik dan menyejukkan mata.

"Doa ibu bapa amat penting agar anak-anak sentiasa istiqamah dalam melakukan sesuatu terutamanya dalam soal agama.

"Saya tidak pernah menyesal menjaga anak seramai ini kerana mereka merupakan anak yang soleh dan solehah serta tidak pernah meninggalkan suruhan Allah," jelasnya ketika ditanya resipi kebahagiaan keluarganya.

Turut menemani Abd. Razak ialah isteri, Zaharah Abd. Rahman, 63, dan 16 orang anak-anaknya iaitu Jamilah (guru), 47, Haripas (surirumah), 45, Ismail (guru), 43, Rokiah (pembantu pejabat), 41, Mat Sofi (guru), 38, Mohd. Yusuf (pengurus), 35, Rushidah (guru), 33 dan Rozita (surirumah), 32.

Lain-lain ialah Mohd. Sabri (juruteknik), 30, Suria (surirumah), 28, Zarina (Pegawai Tadbir Diplomatik), 26, Mohd. Firdaus (pegawai penyelidik), 24, Nurul Shafiyah (guru), 24, Nur Fatihah (pensyarah), 22, dan Ain Najwa, (guru), 20.

Pada majlis tersebut, turut menerima penghargaan ialah Imam Masjid Kampung Tualang, Kuala Terengganu, Wan Abdul Wahab Othman, 53, yang dipilih sebagai Imam Cemerlang Negeri Terengganu dan Bilal Masjid Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, Muhamad Ab. Rahman, 51, sebagai Bilal Cemerlang Negeri Terengganu.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Hadir sama ialah isteri Tengku Baderulzaman, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud.

No comments:

Post a Comment