Wednesday, December 30, 2009

E-book: Terengganu peruntuk RM50

Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tahun 2010 untuk membekalkan 50,000 unit komputer riba (e-book) kepada pelajar tahun empat dan tahun lima.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan tersebut meningkat berbanding RM25 juta tahun ini.

“Tahun depan, kita akan mengagihkan 50,000 komputer riba kepada pelajar-pelajar tahun empat dan lima, berbanding tahun ini kita beri hanya kepada pelajar tahun lima sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, semalam.

Ahmad Razif berkata, peningkatan peruntukan itu menggambarkan bahawa kerajaan negeri begitu mengambil berat terhadap bidang pendidikan dalam melahirkan modal insan di negeri itu pada masa depan.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk memastikan Terengganu terus cemerlang dalam bidang pelajaran di bawah program ‘Terengganu Terbilang’ tahun depan.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri mensasarkan 20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran bagi UPSR dan PMR tahun depan, berbanding 15.3 peratus tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan melancarkan pelan strategik peringkat negeri, awal tahun depan bagi mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, antara pelan strategik tersebut ialah fokus dalam bidang akademik di samping mengatasi isu-isu di sekolah dan juga masalah disiplin dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment