Wednesday, December 30, 2009

10 tahun lagi lahir atlet antarabangsa

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengadakan Konvensyen Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu selama dua hari di Stadium Tertutup, Gong Badak bagi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa sepuluh tahun akan datang.

Seramai 165 peserta terdiri daripada persatuan sukan, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi kerajaan dijemput bagi mengikuti konvensyen itu.

Pengarah MSNT, Rosdi Awang berkata, jika kesemua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan memberi kerjasama baik terhadap program pembangunan sukan yang diadakan, pihak mereka yakin 10 tahun akan datang Terengganu akan menjadi negeri penyumbang atlet bertaraf antarabangsa paling ramai kepada negara bagi mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.

“Sebelum ini, kita berjaya melahirkan atlet Olimpian seperti Allahyarham Maruddin Maidin dalam sukan olahraga, acara lompat kijang, Yahaya Jusoh sementara Harun Jusoh dalam sukan bola sepak dan Chairil Anwar bagi sukan hoki.

“Begitu juga dengan Sukan SEA yang baru tamat di Laos, 18 atlet kita terdiri daripada lapan sukan turut bertanding mewakili negara, malah ada antara mereka berjaya menyumbang pingat emas kepada negara iaitu pemain bola sepak dan atlet pencak silat, Mohd Hafiz Mahari,” katanya selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, kelmarin.

Katanya, bagi sukan berbasikal pula, negeri ini berjaya menghasilkan atlet kebangsaan yang konsisten seperti juara dunia Azizulhasni Awang, Mohd Hariff Saleh dan Fatehah Mustafa.

“Ketiga-tiga atlet ini sedang berlatih di Melbourne, Australia sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik ‘Road To London 2012’ dan Azizulhasni dikatakan atlet yang berpotensi untuk meraih pingat emas pertama sukan Olimpik di London 2012 nanti,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, prasarana mencukupi di semua daerah di negeri ini penting supaya atlet dapat menjalani latihan secara profesional.

“Jadi, kita mempunyai peluang cerah untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa memandangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, banyak kemudahan sukan termasuk Mini Kompleks Sukan setiap daerah telah dimasukkan dalam perancangan penambahan infrastruktur baru,” katanya.

Rosdi berkata, tanpa jurulatih yang berwibawa hasrat untuk melahirkan atlet berkualiti tidak mudah dicapai.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment