Juara bertahan siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) dua tahun berturut-turut Ian Williams gagal ke saingan suku akhir Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Williams dari pasukan Pindar hanya mengumpul empat mata untuk menduduki tempat ke-11 keseluruhan selepas mengharungi 11 perlawanan dalam pusingan timbal balik yang berakhir Jumaat.
Aksi mengecewakan daripada Williams itu menyebabkan pelayar itu menduduki ranking ketiga dalam sirkit WMRT dengan 75 mata di belakang pendahulu Torvar Mirsky dari Australia dan pelayar New Zealand Adam Minoprio.
Bagaimanapun, juara bertahan Piala Monsun Datuk Peter Gilmour dari pasukan Yanmar berjaya melangkah ke suku akhir.
Lapan pasukan yang berjaya menempah tiket ke suku akhir ialah pelayar Britain Ben Ainslie dari pasukan Origin, Sebastian Col (All 4 One), Mathieu Richard (French Match Racing Team), Phil Robertson dari pasukan Waka Racing.
Turut layak ialah pelayar Torvar Mirsky (Mirsky Racing), Damien Ielh (French Match Racing) dan pelayar Minoprio dari pasukan French Match Racing.
Dalam pada itu, pasukan tunggal negara yang diwakili pelayar Hazwan Hazim dari pasukan Taring Pelangi terpaksa menamatkan cabaran lebih awal apabila gagal meraih sebarang mata dan menduduki tangga terakhir di kalangan 12 pasukan yang bersaing pada edisi kelima tahun ini.
Sementara itu, pada pusingan pertama peringkat suku akhir petang semalam menyaksikan Ainslie, Col, Minoprio dan Gilmour, masing-masing berjaya memungut satu mata setelah menewaskan lawan masing-masing.
Empat lagi perlawanan peringkat suku akhir akan disambung kira-kira pukul 10 pagi ini yang akan menyaksikan Ielh menentang Ainslie, Robertson menentang Col, Minoprio menentang Richard dan Gilmour bertemu Mirsky.
Dalam pada itu, Minoprio, dalam sidang akhbar selepas tamat saingan semalam berkata beliau tidak menjangka dapat mara ke suku akhir ekoran prestasi kurang cemerlang semasa pusingan timbal balik itu.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.57 juta dengan pasukan juara menerima US$104,000 (RM360,000) manakala pasukan terakhir (di tempat ke-12) akan menerima US$14,400 (RM50,000).
No comments:
Post a Comment