Tuesday, December 8, 2009

Lahirkan lebih banyak pelayar tempatan bertaraf dunia

Pihak yang menganjur atau yang terbabit secara langsung dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun perlu mengambil berat kenyataan Perdana Menteri.

Ini kerana Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah melahirkan harapan bahawa ia dapat menjadi platfom untuk melahirkan lebih banyak pelayar dan pasukan tempatan bertaraf dunia.

Apabila kerajaan berhasrat untuk terus menganjurkan Kejohanan kapal layar Piala Monsun pada masa akan datang harapan Perdana Menteri ialah melihat kejohanan Piala Monsun bertambah meriah dan menarik.


Kejohanan kali kelima diadakan di Pulau Duyong itu semakin mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan peminat sukan tersebut dari seluruh dunia tetapi juga daripada rakyat tempatan.

Malah katanya, kualiti peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan sirkit terakhir dalam World Match Race Tour (WMRT) itu amat membanggakan kerana peserta terdiri daripada nama-nama besar dalam sukan pelayaran sehingga mendapat liputan meluas stesyen televisyen antarabangsa.

"Kita lihat dari segi bilangan penonton yang menyaksikan kejohanan itu di televisyen mencecah sehingga satu bilion di seluruh dunia dan mendapat waktu siaran yang begitu besar sekali pada hari pertandingan.

"Ini tentu sekali menunjukkan bahawa kejohanan Piala Monsun ini mendapat sambutan di persada antarabangsa dan kita akan teruskan penganjurannya pada masa akan datang, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan ihsan kepada mangsa banjir daerah Kuala Terengganu di sini.

"Dengan itu kita juga berharap pasukan tempatan akan mampu memberi saingan yang lebih hebat pada masa depan," kata Najib.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan mempertimbangkan tentang perkara itu dan menyerahkannya kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk membentangkannya di kabinet nanti.

Kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong mula diperkenalkan pada 2005 menerusi perjanjian yang dicapai antara T-Best Events dengan Kejohanan Kapal Layar Jelajah World Match Racing Tour dan ia akan berakhir pada 2012.

Perdana Menteri sebelum itu turut hadir di majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan kapal layar Piala Monsun yang diadakan di Dewan Pameran, Ri-Yaz Heritage Marina, Resort & Spa.

Pelayar dari New Zealand Adam Minoprio yang mengetuai pasukan Black Match Racing muncul sebagai juara baru Piala Monsun setelah menewaskan pencabarnya Ben Ainslie dari pasukan Origin dalam perlawanan akhir kejohanan itu yang diadakan di Pulau Duyong di sini, Ahad.

Minoprio muncul sebagai juara berganda apabila turut diisytiharkan sebagai pemenang tempat pertama WMRT setelah berjaya mengumpul markah sebanyak 138 mata dalam sembilan sirkit kejohanan jelajah dunia itu.

Ia sekaligus melayakkan pasukan Black Match Racing yang turut dianggotai Daniel McLean, Tom Powrie, David Swete dan Nick Blackman membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM360,000, Piala Kristal WMRT dan Trofi Piala Monsun.

No comments:

Post a Comment