Tuesday, December 8, 2009

RM200j tangani banjir di Kuala Terengganu

Kerajaan negeri dijangka membelanjakan sebanyak RM200 juta untuk membina benteng dan tambatan air di Sungai Tok Jiring dan Sungai Nerus, dekat Kuala Terengganu, bagi memastikan kawasan sekitar tidak mudah ditenggelami air apabila banjir melanda.


Yang dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, langkah tersebut perlu kerana hasil pemantauan mendapati air di dua sungai itu tidak dapat mengalir dengan sempurna menyebabkan kawasan sekitar mudah ditenggelami air.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menjayakan projek itu bagi mengelak banjir berulang sebagaimana beberapa tahun lalu.

''Dengan adanya projek tambatan air selain projek longkang besar di kawasan perumahan adalah diyakini banjir besar tidak akan melanda di kawasan terbabit," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Ehsan Bencana Banjir 2009 Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, dekat sini, petang semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Mengulas lanjut Tengku Putera berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5.9 juta untuk membina benteng atau tambatan air bagi mengatasi masalah banjir di Taman Desa Pusu Tiga dan kawasan sekitar.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang memastikan rancangan sederhana tahun hadapan berikutan banjir melimpah di kawasan berkenaan dan di Sungai Nerus serta Sungai Tok Jiring.

No comments:

Post a Comment