Sunday, December 20, 2009

Lapan Pelajar Terengganu Jalani Pembedahan Mata Esok

Sekumpulan lapan pelajar Terengganu yang menghadapi masalah penglihatan akan menjalani pembedahan mata di Hospital Mata Tun Husein Onn di Kuala Lumpur esok.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata mereka adalah di kalangan 20 orang yang dikenal pasti berpotensi untuk dipulihkan penglihatan dengan semua perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga akan menanggung kos penginapan keluarga yang menemani pelajar yang akan menjalani pembedahan mata ini selain turut menanggung kos rawatan di luar negara sekiranya pelajar-pelajar ini perlu dirujuk ke sana," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat bayi berusia sembilan bulan yang menghidap pelbagai penyakit kronik, Mohd Idhan Izuan Zamri, di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit dekat Kuala Terengganu semalam.
Ahmad berkata kerajaan negeri juga menimbang untuk membantu kos rawatan Mohd Idhan Izuan yang menghidap penyakit berkaitan saluran darah, saluran pernafasan sempit dan jatung berlubang menerusi saluran seperti Tabung Darul Iman.

Ibu kanak-kanak itu Nor Azura Jusoh, 26, berkata Mohd Idhan Izuan telah dua kali menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kali pertama semasa bayi itu berumur 27 hari untuk memulihkan saluran darah manakala pembedahan kedua semasa berumur empat bulan untuk rawatan saluran pernafasan.

"Pembedahan ketiga dijadualkan pada bulan Disember tahun depan namum kalau boleh saya harap ia dapat dipercepatkan memandangkan keadaan anak saya yang semakin lemah sekarang ini," katanya.

No comments:

Post a Comment