Sebanyak 38 premis perniagaan seluruh negeri ini di bawah pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah dibina bagi menempatkan penyewa Melayu yang berminat berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Pengarah Mara Terengganu, Razali Nurdad berkata, premis perniagaan ini telah dibina di setiap daerah bagi memberi kemudahan orang Melayu menjalankan perniagaan supaya tidak terus mengharapkan ‘makan gaji’ di sektor awam dan swasta.
“Selain menyediakan premis perniagaan, Mara juga turut memberi pembiayaan pinjaman, khidmat nasihat dan kursus jangka masa pendek bagi melengkapkan diri peniaga dengan ilmu keusahawanan.
“Dengan adanya semua pakej yang disediakan oleh pihak Mara, kita berharap ia mampu melaksanakannya dengan baik dan jangan hanya bersungguh-sungguh separuh jalan,” katanya.
Menurutnya, dalam meningkatkan perniagaan produk yang dihasilkan, penyewa perlu memikirkan alternatif untuk menceriakan premis masing-masing supaya dapat menjadi tarikan kepada pengunjung.
“Sekurang-kurangnya apa yang dilakukan itu dapat memberi manfaat untuk tempoh yang panjang dan bukan hanya mengharapkan kemudahan diberikan oleh Mara sahaja,” katanya.
Razali berkata, sebagai sebuah pengurusan yang mementingkan kebajikan ahli, Mara juga telah mengatur pelbagai program pembangunan penyewa bagi membuka minda peniaga supaya tidak terus berada di takuk lama.
“Kita mahukan pembaharuan dari masa ke masa dan Mara akan menjadi ‘fasilitator’ dalam meningkatkan keyakinan peniaga walaupun pernah mengalami kegagalan sebelum ini.
“Oleh itu, sikap dan mentaliti usahawan Melayu juga perlu seiring dengan perkembangan semasa supaya dapat terus menjadi antara yang terbaik dalam kala-ngan usahawan di negara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment