Thursday, December 17, 2009

SUK Terengganu tegur Kem Latihan Sukma terabai

Atlet Terengganu yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukma 2010 di Melaka dikatakan terdedah dengan pelbagai ancaman penyakit berjangkit ekoran kem latihan mereka di Gong Badak didapati tidak bersih dan selesa.


Ketika membut teguran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, berkata pihak pentadbiran Majlis Sukan Negeri perlu segera melihat perkara itu serta mengatasinya.

"Saya tidak puas hati dengan keadaan tempat tinggal atlet terutama dari segi kebersihan seperti bilik air, tempat tidur yang tidak beralas dan sebagainya.

"Macam mana atlet hendak tinggal kalau sekiranya pengudaraan kurang selesa dan panas," katanya kepada pemberita selepas meninjau kem latihan Sukma, di Gerbang Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak semalam.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu yang juga Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 2010, Datuk Mat Razali Kassim.

Mokhtar berkata beliau bimbang dan khuatir penyakit seperti taun akan merebak di kalangan atlet berikutan mereka tinggal setempat.

Selain itu, beliau meminta pihak pentadbiran Majlis Sukan Negeri melihat soal pemakanan atlet supaya mendapat makanan yang sesuai sebagai seorang atlet.

Semasa berucap, Mokhtar berkata dalam menghadapi Sukma 2010 nanti, Terengganu akan menggunakan khidmat tiga jurulatih import untuk sukan tinju, sepak takraw dan renang.

"Terengganu menyediakan peruntukan yang besar, yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 21 Disember ini bagai menghadapi Sukma tahun depan," katanya.

Katanya Terengganu meletakkan sasaran untuk sekali lagi muncul juara.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment