Thursday, December 31, 2009

Penternakan Kambing Jadi Projek Utama Terengganu

Kerajaan Terengganu menjadikan projek penternakan kambing sebagai projek utama di negeri ini dan menyeru pihak swasta untuk turut sama terlibat dalam menjayakan pembangunan sektor itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat berkata sebanyak lapan Lembah Kaprima yang boleh menampung 4,800 ekor induk kambing akan beroperasi di seluruh negeri bermula tahun depan.

Beliau berkata pada masa yang sama, sebanyak 170 projek skim mikrokaprima turut beroperasi yang melibatkan 1,700 ekor induk, dan bagi skim itu, kerajaan akan mengagihkan induk kambing kepada penduduk kampung untuk dibela dan mensasarkan mereka memperolehi pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM700 sebulan.

"Ini merupakan tambahan kepada sejumlah 23,000 ekor induk yang sedia ada dalam sistem pembangunan kambing di negeri ini," katanya selepas majlis pelancaran produk dan pemasaran kambing serta hasilan kambing 2010, malam tadi.

Rozi berkata sebanyak 30,000 ekor kambing muda akan dihasilkan setiap tahun dan kambing-kambing ini antaranya adalah untuk sembelihan, dianggarkan sebanyak 15,000 ekor setahun.

Menurutnya pada penghujung tahun 2010 kuantiti output daging kambing dijangka mencecah 260 tan metrik, berbanding tahun semasa (2009) 140 tan metrik.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM23.6 juta sehingga tahun 2009 untuk pembangunan kambing di negeri ini.

Di samping itu juga, program pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah dan akan mewujudkan beberapa projek penternakan kambing yang berskala besar, misalnya Telaga Papan sebanyak 14 buah kandang yang berkapasiti 2,000 ekor induk telah siap dan akan beroperasi mulai tahun depan.

Rozi berkata Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu dijangka akan menghasilkan 2,000 kambing daripada program yang mereka laksanakan di Hulu Terengganu.

Rozi berkata promosi makan daging kambing akan ditingkatkan kerana masih ramai di kalangan masyarakat masih merasa bimbang dan takut memakan masakan daging kambing kerana ia dikaitkan dengan kandungan kolestrol tinggi, pening kepala, darah tinggi, pengsan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment