Tuesday, December 8, 2009

Polis Terengganu Tumpas Tiga Kumpulan Remaja Curi Motosikal

Polis Terengganu berjaya menumpaskan tiga kumpulan curi motosikal termasuk yang dianggotai remaja dan pelajar sekolah sepanjang tahun ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahalan.


Menurut beliau sepanjang tempoh itu seramai 16 suspek ditahan dari dua kumpulan iaitu 'Master Crew' dan 'Benetton'.

"Mengikut siasatan daripada anggota kumpulan yang ditangkap, yang berumur di antara 16 dan 30 tahun itu, mereka terlibat dalam 50 kes kecurian motosikal di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan bulanan di Ibupejabat Polis Kontinjen Terengganu semalam.

Katanya motosikal yang dicuri itu kemudiannya dijual dengan harga murah iaitu antara RM200 dan RM600 sebuah.

Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati kelalaian pemilik sendiri yang cuai menjaga keselamatan motosikal masing-masing memudahkan anggota kumpulan berkenaan melakukan 'kerja-kerja' jahat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata seramai 120 remaja termasuk pelajar telah ditangkap kerana terlibat dalam kes-kes penyalahgunaan dadah di negeri itu sepanjang tahun ini.

Beliau berkata pelajar-pelajar itu bukan sekadar menjadi penagih malah ada juga yang terlibat secara langsung dalam pengedaran dadah.

No comments:

Post a Comment