Tuesday, December 8, 2009

Penternak Ikan Sangkar Digesa Ceburi Aktiviti Sampingan

Penternak ikan dalam sangkar perlu lebih inovatif dengan menceburi aktiviti sampingan lain seperti bidang agro-pelancongan dalam membantu meningkatkan pendapatan masing-masing, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.

Menurut beliau, kegiatan sampingan seperti menyediakan kolam kepada kaki pancing dapat dijadikan sebagai pendapatan alternatif kepada penternak terutama ketika menghadapi masalah dan bencana seperti yang dialami penternak ikan kerapu di Laguna Kampung Gong Batu, di sini, baru-baru ini.

"Disebabkan banjir, banyak ikan kerapu yang diternak penduduk di Laguna Kampung Gong Batu mati kerana spesies itu tidak dapat bertahan lama berada dalam air tawar, yang menyebabkan kerugian bukan sedikit kepada penternaknya.

"Justeru, kita sarankan mereka turut terlibat dengan aktiviti sampingan lain bagi menampung kerugian yang dialami selain daripada bantuan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Dalam kejadian hujung November lalu, 18 penternak ikan kerapu di situ kerugian hampir RM600,000 apabila lebih 35,000 ikan spesies itu yang hampir matang dan sedia untuk dijual semasa perayaan Tahun Baru Cina nanti, mati disebabkan terdedah kepada limpahan air tawar berikutan banjir yang melanda kawasan itu.

Oleh kerana kerugian disebabkan banjir berlaku hampir setiap tahun, Timbalan Menteri itu menyarankan penternak khususnya di kawasan berkenaan merancang supaya hasil dapat dijual sebelum banjir musim tengkujuh lazimnya berlaku iaitu antara November hingga Januari setiap tahun, sebagai penyelesaian jangka pendek.

"Saya difahamkan ternakan ikan kerapu mengambil masa selama lapan bulan untuk matang, mungkin musim baru boleh dimulakan sebaik sahaja banjir pulih bagi membolehkan hasil dijual sebelum masalah banjir seperti yang berlaku baru-baru ini melanda sekali lagi," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, pihak Jabatan Perikanan Terengganu juga diarahkan menyediakan laporan untuk merangka penyelesaian jangka panjang masalah yang dihadapi penternak ikan sangkar di kawasan laguna berkenaan.

"Mungkin kita dapat beri peruntukan untuk penternak membina sangkar baru memandangkan sangkar sedia ada sudah uzur dan ada yang melebihi 10 tahun. Kita juga melihat kepada alternatif lain termasuk mengepam air laut untuk proses ternakan di kolam-kolam atau tangki di darat," katanya.

Katanya kementerian juga meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menjalankan proses mengorek semula muara sungai yang mendap bagi mengelak masalah air yang cetek, antara masalah utama yang dihadapi penternak di kawasan itu.

Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan pendahuluan sebanyak RM2,400 masing-masing kepada semua 18 penternak ikan kerapu terlibat.

Katanya pihak kementerian akan memberi bantuan susulan yang jumlahnya bergantung kepada saranan Jabatan Perikanan Negeri.

Terdapat seramai 109 penternak ikan spesies kerapu dan siakap yang mengusahakan 1,924 sangkar di laguna berkenaan di kawasan seluas kira-kira 10,000 hektar. Kawasan laguna berkenaan mengeluarkan nilai hasil mencecah RM12.5 juta setahun.

No comments:

Post a Comment