Thursday, December 17, 2009

Polis Tumpas Geng Remaja Pecah Rumah

Polis berjaya menumpaskan geng remaja pecah rumah dan curi di pejabat kerajaan dengan penahanan lima remaja dalam beberapa serbuan di Kuala Terengganu dan Kuala Berang awal bulan ini.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kumpulan remaja terbabit yang berumur 18 hingga 22 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Jun hingga Okt tahun ini dengan menjadikan komputer sebagai sasaran.

"Mereka menjualnya kepada orang perseorangan di kawasan Kuala Berang dengan harga RM300 sebuah sebelum menggunakan wang itu untuk tujuan berfoya-foya," katanya dalam satu sidang media semalam.
Katanya, modus operandi kumpulan itu ialah memecah masuk dengan mengumpil pintu dan memotong gril bahagian belakang pada waktu lewat malam di pejabat kerajaan khususnya pada hari cuti umum.

Beliau berkata, antara yang menjadi mangsa termasuk Pejabat Penerangan, Pejabat Kemas dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong.

Menurutnya, bertindak atas aduan, polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Chabang Tiga Kuala Terengganu pada 3 Dis lepas dan menahan seorang daripada ahli kumpulan itu.

Hasil penahanan tersebut, empat lagi remaja telah ditahan di rumah masing-masing di sekitar Kuala Berang dua hari kemudian yang membawa kepada penemuan semula lapan unit komputer meja dan lima unit komputer riba yang dianggar bernilai RM40,000.

"Kesemua komputer tersebut kita rampas dari orang perseorangan yang merupakan pembeli kepada barangan curi itu. Sebuah motosikal dipercayai motosikal curi turut dirampas dalam serbuan di sebuah rumah suspek," katanya.

Katanya, tiga daripada remaja berkenaan didapati positif dadah dan dua daripadanya pernah mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan memeras dan mencuri motosikal.

Kesemua mereka dibawa ke mahkamah hari ini untuk pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan denda.

No comments:

Post a Comment