Thursday, December 17, 2009

Kerajaan negeri manfaatkan Taman Ilmu

Kerajaan Negeri meluluskan permohonan untuk menubuhkan kolej kejururawatan dari Waikato Institute of Technology, New Zealand yang dijangka beroperasi pertengahan tahun depan di Taman Ilmu, Besut.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, perjanjian penubuhan kolej yang mampu menyediakan peluang pendidikan kepada 1,000 pelajar untuk satu-satu masa itu akan ditandatangani pada Januari ini.

Kolej kejururawatan itu dijangka akan dibuka pada Julai depan.
Selain itu menurutnya, kerajaan turut menerima satu permintaan untuk menubuhkan kolej perubatan dari sebuah institusi luar negara yang popular iaitu Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI).

“Kolej ini juga akan dibina di Taman Ilmu kerana kita sudah mempunyai kemudahan di sana, mereka hanya perlu datang dan bina kelas sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad berkata, bagi merealisasikannya beliau akan ke Ireland untuk berbincang secara mendalam mengenai penubuhan kolej itu manakala pihak RCSI pula akan datang melawat Terengganu Januari ini.

Untuk kursus perubatan, beliau berkata ia bukan sahaja melibatkan pelajar Malaysia malah membabitkan penuntut dari luar negara kerana perbelanjaan mungkin lebih rendah.

Ahmad berkata, Terengganu menghantar 150 penuntut mengikuti kursus perubatan ke luar negara pada setiap tahun terutamanya ke Indonesia walaupun kos di negeri ini agak tinggi berbanding di Indonesia tetapi RCSI memang telah diiktiraf dunia.

Taman Ilmu mempunyai keluasan kira-kira 280 hektar di mana keperluan untuk kedua-dua kolej berkenaan akan dilihat dahulu mungkin kira-kira 16 hektar.

Dalam perkembangan lain, Ahmad akan ke China untuk berunding bagi menubuhkan Pusat Bahasa Inggeris di Taman Ilmu supaya penuntut dari negara itu boleh ke sini untuk belajar Bahasa Inggeris.

Katanya beliau telah berbincang dengan timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Rustam Yahya supaya berunding di peringkat awal dengan universiti di China dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan sebagainya bagi membolehkan membawa mereka belajar di Terengganu.

No comments:

Post a Comment