Tuesday, December 22, 2009

Redah gelora, hujan lebat demi e-Book

Demi kemajuan pendidikan anak bangsa dan pelajaran daerah serta negeri ini, sekumpulan pegawai pelajaran termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokthar sanggup meredah gelora menaiki bot ke Pulau Perhentian.

A Rahman bersama Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim dan wakil Jabatan Pelajaran Negeri serta Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ke pulau berkenaan untuk mengagihkan komputer e-Book kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian.

Perjalanan ke Pulau Perhentian menaiki bot laju Pejabat Daerah Besut penuh cabaran kerana keadaan laut yang bergelora menyebabkan bot yang dinaiki A Rahman dan rombongan seakan-akan terlambung ke udara.

Namun, itu semua tidak mematahkan semangat semua rombongan meneruskan perjalanan ke pulau itu yang memakan masa kira-kira 35 minit.

A Rahman berkata, komputer e-Book perlu diagihkan juga kepada 22 murid sekolah itu kerana kesuntukan masa sebelum sesi persekolahan baru bermula awal tahun depan.

A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, sekolah berkenaan adalah sekolah istimewa dalam DUN Kuala Besut kerana satu-satunya sekolah di DUN itu menerima e-Book yang diserahkan khusus di sekolah berkenaan.

Semua sekolah kebang-saan lain menerima e-Book serentak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut beberapa bulan lalu.

“Pengagihan e-Book itudiharap dapat mendorong lebih ramai murid memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan selaras wawasan menjadikan Besut Bumi Ulul Albab,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Abd Halim Hassan dan guru besar, Kamaruddin Aziz

A Rahman berkata, kerajaan berharap e-Book dapat mengekalkan Besut dan negeri ini sebagai juara UPSR pada 2010 kelak.

Selepas majlis penyerahan e-Book, A Rahman melakukan lawatan ke projek pembinaan sebuah bangunan dua tingkat me-ngandungi lapan unit rumah guru dan kakitangan sekolah berhampiran SK Pulau Perhentian yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

“Apabila kuartes ini siap, diharap semua guru dapat tinggal dalam keadaan selesa dan memberi tumpuan terhadap kecemerlangan pelajaran murid di pulau,” katanya.

Dalam perjalanan pulang, rombongan A Rahman sekali lagi meredah gelombang tetapi basah kuyup kerana hujan lebat sebelum berlabuh di Jeti Kuala Besut.

No comments:

Post a Comment