Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta pada awal tahun depan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi membantu 1,000 peserta yang tidak mendapat bantuan ataupun tercicir dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).
Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, peruntukan itu bagi memberi peluang yang sama adil kepada golongan keluarga miskin dalam proses pembangunan keluarga.
“Jika sebelum ini dalam RMK-9, sebanyak 3,000 peserta telah diberi bantuan dengan peruntukan RM25 juta tetapi dengan tambahan peruntukan RM5 juta ini, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan lagi jumlah miskin tegar di negeri ini.
“Kami jangkakan setiap bantuan yang telah diberi ini mampu menjadi pembakar semangat kepada penerima bantuan supaya berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan asal,” katanya.
Menurutnya, penerima bantuan tidak akan dibiarkan tanpa pemantauan pihak YPK kerana bimbang mereka menyalahgunakan wang bantuan itu bagi tujuan tertentu.
“Matlamat utama YPK memberi bantuan ini adalah sebagai modal memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti membeli mesin dan peralatan yang boleh mempercepatkan penghasilan produk,” katanya.
Sementara itu, Shafaruddin berkata, pada awal tahun depan, program berbentuk motivasi akan diteruskan bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.
“Antara program yang akan diberi penekanan adalah Program Taklif iaitu penyerahan tanggungjawab ibu bapa kepada anak apabila sudah mencapai akil baligh kerana pada tahap umur itu, pelbagai cabaran akan dilalui.
“YPK telah mengenal pasti 32 sekolah menengah di negeri ini bagi menjayakan program untuk pelajar berumur 15 tahun ke atas.
“Kami menyasarkan lingkungan umur itu kerana ia lebih sesuai dan tempoh kematangan juga berbeza berikutan cabaran pada waktu berkenaan lebih banyak serta memerlukan pemikiran rasional,” katanya.
No comments:
Post a Comment