Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM21 juta bagi membaiki infrastruktur terutama jalan negeri yang rosak akibat banjir di negeri ini baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata peruntukan itu akan disalur melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka memulakan kerja pembaikan itu awal tahun depan selepas musim tengkujuh.
Beliau berkata peruntukan RM21 juta itu akan diuruskan oleh JKR Terengganu yang melibatkan jalan negeri, dan tidak termasuk jalan persekutuan kerana ia akan dibuat melalui peruntukan persekutuan sebanyak RM35 juta.
"Manakala untuk jalan-jalan lain, kerja penurapan kembali jalan dan pembaikian jalan akan dilakukan oleh majlis-majlis daerah melalui peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM20 juta.
"Ia akan dijalankan selepas tahun baru kerana kita tahu kalau penurapan dibuat semasa musim hujan, tidak sampai dua hari jalan ini akan hancur semula," katanya ketika menjawab soalan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.
Ahmad berkata kerajaan negeri akan melaksanakan tiga langkah untuk mengelakkan negeri ini terus dibelenggu masalah banjir buruk setiap kali musim tengkujuh, antaranya membuat kajian menyeluruh bagi sistem perparitan di negeri ini dan membaiki sistem perparitan di kawasan yang sering dinaiki air.
Beliau berkata JKR juga akan menaikkan aras jalan yang sering dinaiki air dan menambah longkang konkrit untuk memudah pengaliran air di kawasan berkenaan serta mengenapasti laluan dan saiz longkang yang bersesuaian melalui kajian terperinci.
"Walaupun usaha ini akan dilakukan, kerajaan tidak dapat memberi jaminan air tidak naik pada masa akan datang kerana ia bergantung pada kadar lebatnya hujan yang turun dan pembangunan di kawasan berkenaan pada masa depan," katanya menjawab soalan Rosli Othman (BN-Kemasik).
Beliau berkata ini kerana kebanyakan projek perumahan adalah tanah berpaya yang terpaksa ditambun dan keadaan itu menyebabkan kawasan tadahan air semakin berkurang.
Keadaan menjadi semakin buruk dengan sikap pemilik tanah yang sesuka hati menambun tanah tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan, katanya.
Ahmad berkata berikutan itu kerajaan negeri akan menetapkan satu garis panduan bagi pemilik yang ingin menambun tanah bagi membina rumah untuk mengelakkan banjir berlaku setiap kali musim tengkujuh.
No comments:
Post a Comment