Wednesday, December 23, 2009

Kerajaan Terengganu Ditegur Sering Amal Projek 'Ad Hoc'

Kerajaan negeri Terengganu diminta menyediakan pelan yang lebih tersusun bagi setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan di negeri ini berbanding mengambil pendekatan secara 'ad hoc'.

Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) berkata kebanyakan projek dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dibuat tanpa perancangan atau 'blue print' khusus.

Mengambil contoh peruntukan RM100 juta dalam bajet 2009 untuk projek penanaman kelapa sawit di keliling rumah dalam usaha memberi pendapatan tambahan kepada rakyat yang sehingga kini masih belum terlaksana, beliau berkata perkara itu tentu sekali memberi kesan negatif kepada imej kerajaan negeri.

"Kalau setakat mewar-warkan saja, tanpa perlaksanaan, ia akan menyebabkan rakyat mempunyai tanggapan buruk kepada kerajaan. Saya sendiri selalu kena perli dengan penduduk kawasan saya.

"Bila jalan-jalan di kampung ada penduduk tanya 'susah tak YB jumpa rumah saya, maklumlah rumah saya ni dikelilingi pokok kelapa sawit," katanya ketika sesi perbahasan pembentangan bajet 2010 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.
Katanya berdasarkan perancangan berkenaan, penduduk miskin akan diberi 15 hingga 20 benih kelapa sawit untuk ditanam di kawasan keliling rumah namun setakat ini status projek itu seolah-olah tergantung tanpa sebarang perlaksanaan.

No comments:

Post a Comment