Kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk bidang pendidikan di negeri itu berbanding hanya RM200 juta pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata penambahan peruntukan itu menunjukkan kerajaan negeri amat mengambil berat terhadap bidang pelajaran terutama berkaitan dengan pencapaian pelajar.
"Kita akan pastikan semua rakyat Terengganu akan dapat menikmati bidang pelajaran dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat emas dan hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu Md Kamarul Al-Amin Ismail.
Ahmad berkata, kerajaan negeri dapat merasakan rakyat Terengganu telah mula sedar akan pentingnya pelajaran untuk masa depan mereka dan ia terbukti dengan kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar-pelajar di negeri ini melalui peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.
Beliau berkata, dengan peruntukan itu juga kerajaan berharap lebih ramai anak Terengganu dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya.
Sementara itu, Md Kamarul Al-Amin berkata Yayasan Terengganu menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pelbagai bantuan, berbanding RM18.9 juta tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 26,000 orang pelajar yang layak.
Katanya, majlis penganugerahan hari ini membabitkan pelajar seramai 6,740 orang dan Marhaina Ismail, 19, pelajar program Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh Perak, berasal dari Marang dipilih sebagai pemenang pingat emas Yayasan Terengganu tahun ini.
No comments:
Post a Comment