Tuesday, December 29, 2009

Sektor swasta, individu diminta bantu pelajar miskin

Pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan individu diminta tampil memberi bantuan kepada kira-kira 40,000 murid dan pelajar di bawah kategori kurang berkemampuan di negeri ini.

Ketua Sektor Pembangunan Pengurusan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Salleh Busu berkata, bantuan tersebut bagi meneruskan kecemerlangan murid dan pelajar selain meringankan beban ibu bapa mereka.

"Saya yakin kecemerlangan murid dan pelajar bukan sahaja hasil didikan ibu bapa dan guru sahaja, namun ia berkait rapat dengan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memberi kemudahan pembelajaran yang selesa kepada mereka.

"Justeru, saya berharap lebih banyak agensi swasta dan individu di negeri ini yang sudi memberi bantuan kepada mereka sekali gus turut sama membantu kerajaan dalam meringankan beban mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan simbolik bantuan beg sekolah daripada Yayasan Johor di JPN di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis tersebut, Pengurus Besar (Bisnes Amal) Yayasan Johor, Azizah Ahmad menyerahkan sebanyak 250 beg sekolah bernilai RM7,250 kepada JPN untuk diagih-agihkan kepada murid dan pelajar yang memerlukan.

Sumbangan tersebut dibuat hasil kutipan Tabung Tijarah Ramadan yang telah dilancarkan sejak tahun 2005 melalui kutipan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dalam pada itu, Salleh berkata, pemberian beg tersebut akan diagih-agihkan selewat-lewatnya pada minggu kedua sesi persekolahan dibuka.

Tambahnya, JPN akan memastikan pengagihan beg tersebut akan diberikan kepada mereka yang miskin.

"Kita berharap dengan bantuan ini dapat meringan keluarga murid dan pelajar selain dapat menyuntik semangat untuk mereka lebih tekun belajar," katanya.

No comments:

Post a Comment