Tuesday, December 29, 2009

Terengganu Peruntuk RM50 Juta Untuk Program Penanaman Padi

Kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan RM50 juta untuk program tanaman padi di Terengganu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat kelmarin.

Beliau berkata dengan peruntukan tersebut kerajaan berharap pengeluaran padi di negeri ini dapat ditingkatkan dari 4.5 tan metrik ke lima tan metrik sehektar.

"Pada masa kini, terdapat seramai antara 15,000 dan 16,000 orang penanam padi di seluruh negeri Terengganu. Dari segi pengeluarannya dianggarkan hampir mencecah 50,000 tan metrik setahun yang mana kita telah mampu menyara diri dengan jumlah pengeluaran itu," katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat kawasan Telemong berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembahagian jentera pembajak Jabatan Pertanian di Balairaya Kampung Tok Lawit.

Seramai lapan orang petani dari kampung Tok Lawit menerima jentera berkenaan yang berharga RM6,000 sebuah daripada Rozi.

Menurutnya di Terengganu terdapat seluas kira-kira 10,000 hektar tanah yang bertanam dengan padi, dari jumlah itu 5,000 hektar adalah jelapang padi.

Katanya, kerajaan negeri merancang untuk membuka beberapa kawasan baru tanaman padi di negeri ini, termasuk 1,000 hektar di daerah Marang tahun depan.

No comments:

Post a Comment