Wednesday, December 30, 2009

Strategi pendidikan negeri dilancar

Kerajaan negeri akan melancarkan pelan strategi pendidikan dalam memastikan 20 peratus daripada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2010 di negeri ini mencapai kelulusan A dalam semua mata pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pelan strategi tersebut akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam tempoh terdekat ini.

Menurut beliau, sebanyak 23,215 calon UPSR akan menduduki peperiksaan itu tahun depan dan kerajaan negeri mahu kira-kira 4,600 daripadanya mencapai kelulusan A dalam semua mata pelajaran.

''Tahun ini, hanya 15.3 peratus daripada calon UPSR lulus dalam semua mata pelajaran dan peratusan yang tertinggi yang pernah dicapai ialah 17 peratus pada 2007.

''Justeru, kita mahu mencapai jumlah peratusan 20 peratus calon UPSR mendapat A dalam semua pelajaran pada tahun depan dengan melaksanakan pelan strategi ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan UPSR dan PMR 2009 DUN Sebarang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir semalam.

Ahmad Razif memberitahu, pelan itu akan memfokus bukan sahaja kepada akademik tetapi juga kepada pembangunan murid itu termasuk permasalahan yang dihadapi oleh mereka dalam mencapai kecemerlangan dalam UPSR.

''Antara perkara-perkara yang terdapat dalam pelan strategi itu merupakan susulan daripada pemerhatian yang saya lakukan untuk meningkatkan kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, ia juga akan memberi tumpuan kepada masalah pelajaran murid dan membantu meningkatkan motivasi kepadanya untuk berjaya.

No comments:

Post a Comment