Thursday, December 31, 2009

Ops Sapu Banteras Penagihan Dadah

Kampung Alor Lik, sebuah perkampungan yang damai dan dikelilingi kebun getah dan kelapa sawit, tercemar apabila dijadikan sarang penagihan najis dadah.

Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Setiu Che Omar Ab Rahman berkata kegiatan penagih di kampung itu diintip sejak dua bulan lepas.

"Penagih-penagih yang menjadikan kawasan semak dan tempat-tempat tersorok di kampung itu sebagai tempat melepaskan gian mereka yang kebanyakannya datang daripada luar kampung itu," katanya kepada pemberita selepas Ops Sapu yang berakhir awal pagi Khamis.

Seramai 65 anggota AADK Setiu, Hulu Terengganu dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terlibat dalam operasi yang bermula pukul 6 petang hingga 12 malam itu, bertujuan memberkas penagih dadah yang semakin meningkat jumlahnya.

Hampir 30 penagih, berumur antara 18 dan 40 tahun ditahan dalam operasi itu dan enam daripada mereka didapati positif dadah.

Che Omar berkata mengikut maklumat, lebih kurang 60 penagih sering berkumpul di kawasan berkenaan tetapi kebanyakan mereka dipercayai sempat melarikan diri setelah menyedari operasi itu diadakan.

Beliau berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa kesemasa bagi memastikan kampung yang didiami kira-kira 1,000 orang itu kembali tenang dan tidak
menjadi pusat pengambilan dadah.

Sementara itu, tindakan AADK mengadakan operasi pembersihan dadah di kampung itu disambut baik oleh penduduk kampung yang selama ini berasa bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh dengan gejala tidak sihat itu.

No comments:

Post a Comment