Thursday, December 24, 2009

Terengganu fokus sektor pelancongan

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata sektor pelancongan akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri Terengganu pada masa akan datang.
Ia bagi mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Katanya kerajaan perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri itu kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

"Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber kerajaan pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, InsyaAllah akan menjadi wang royalti.

"Untuk itu usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu," kata Ahmad.

Beliau berkata, untuk itu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor pelancongan termasuk untuk memajukan Tasik Kenyir.

Katanya, walaupun Tasik Kenyir telah dibuka hampir 30 tahun, namun bilangan pelancongan yang berkunjung ke tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu masih berkurangan.

Ini kerana walaupun mempunyai daya tarikan alam semula jadinya tersendiri, kawasan itu masih kurang tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan kurang kemudahan asas, kata Ahmad.

"Tidak ada pelabur yang ingin datang buka hotel atau resort di situ kerana tidak ramai yang datang, dan kerana itu, kerajaan ingin memajukan Tasik Kenyir," dengan menyediakan program berkunjung ke pulau di tasik itu.

Ahmad berkata 340 buah pulau yang terdapat di Tasik Kenyir mampu memberi pendapatan lumayan untuk sektor pelancongan jika ia dimajukan seperti cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba.

Beliau juga menyebut mengenai satu penemuan artifak berusia hampir 10,000 tahun di Gua Bewah di kawasan tasik itu.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

No comments:

Post a Comment