Thursday, December 24, 2009

MB Terengganu Bersumpah Nama Allah Tiada Penyelewengan

Sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Rabu dikejutkan dengan lafaz sumpah Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi menafikan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran beliau.

Katanya segala projek yang dilakukan oleh kerajaan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dan semuanya dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.

"Saya merasa sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan.

"Dengan nama Allah, bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Ahmad berkata bahawa bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zam-zam itu.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lepas, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya.

"Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

No comments:

Post a Comment