Thursday, January 21, 2010

Artifak Zaman Kesultanan Melaka Dipercayai Masih Ada Di Kampung Cina

Jabatan Warisan Negara akan membuat pemantauan berkala di kawasan pembinaan di Kampung Cina di sini bagi mengesan bahan sejarah yang mungkin masih ada ekoran penemuan pelbagai artifak zaman Kesultanan Melaka di situ baru-baru ini.

Pegawai JWN Zon Timur Norul Khatijah Mohd Nor berkata jabatan itu akan menghantar kakitangannya ke kawasan berkenaan sehingga projek pembinaan untuk mengindahkan kawasan itu siap.

"Kita yakin masih ada lagi artifak yang akan ditemui di kawasan itu memandangkan ia merupakan pelabuhan dan pusat perdagangan pada zaman lampau," katanya kepada Bernama.

Antara artifak yang ditemui di situ ialah duit syiling berbentuk bulat bertulisan jawi zaman dahulu, syiling bertulisan Arab, sauh, tembikar serta pasu dari China.

Norul Khatijah berharap orang ramai khasnya pekerja pembinaan di kawasan berkenaan yang menemui barang-barang lama di situ supaya menyerahkan kepada JWN untuk dipulihara.

Katanya mana-mana individu yang memiliki atau enggan menyerahkan artifak yang ditemui di kawasan berkenaan boleh dikenakan denda mengikut seksyen 47 Akta Warisan Kebangsaan 2005, yang jika disabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment