Sunday, January 3, 2010

ECER Tarik Lebih Banyak Pelaburan Dalam 2010

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan memberikan tumpuan kepada usaha membawa masuk lebih banyak pelaburan tempatan dan asing pada 2010 di samping meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam wilayah itu.

Ketua eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John, berkata ECER telah menarik pelaburan yang dijanjikan dan dilaksanakan berjumlah RM26 bilion, daripada kedua-dua sumber tempatan dan asing.

"Ada beberapa projek sedia ada dalam Zon Ekonomi Khas ECER (SEZ) yang mungkin pelabur dapati amat lumayan dan selamat bagi pelaburan seperti taman plastik dan polimer bersepadu sepenuhnya yang pertama di Malaysia, iaitu Taman Polimer Kertih (KPP), Terengganu yang kini siap untuk dihuni, dalam kawasannya seluas 140 hektar," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Jebasingam KPP yang diwujudkan bagi memperkenal konsep 'plug-and-play' itu akan memanfaatkan potensi sinergi daripada penyepaduan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih yang berdekatan.

Taman yang berjaya menarik komitmen pelaburan serta merta berjumlah RM565 juta itu, dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Satu lagi bidang tumpuan ECER ialan Taman Industri Automotif Pekan, dengan perancangan bagi kerja-kerja menaikkan taraf prasarana dan landskap, serta pembukaan sebuah pusat pemasaran pada 2010.

"Pada keseluruhannya, Taman Industri Automotif Pekan dijangka menjana pelaburan berjumlah lebih RM4 bilion sepanjang empat peringkat pembangunannya dan mewujudkan sebanyak 10,580 pekerjaan," kata Jebasingam.

Sementara itu usaha sedang dijalankan bagi menarik pelabur untuk mengambil bahagian dalam projek-projek berdaya maju utama di luar SEZ, yang akan bertindak sebagai pembekal bahan mentah dan penyokong kepada pembangunan projek-projek dalam SEZ.

Ini termasuklah projek bagi pelancongan dan kelompok pertanian.

Bagi pertanian, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah akan dibina pada Mei 2010 untuk menampung 1,300 penternak dan lembu sebagai satu cara untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan lembu yang diimport.

Bagi pelancongan, ECER telah memperuntuk sejumlah 106 hektar di Teluk Bidara, Dungun bagi pembinaan hotel, resort dan chalet bermutu tinggi.

Bagi meningkatkan tarikan pelancongan, pembangunan pusat bandar Kuala Terengganu sebagai bandar warisan pinggir pantai bersepadu akan bermula dalam tempoh enam bulan kedua 2010.

Bagi menambah sumber-sumber pelancongan semula jadi wilayah ini, Gua Musang dan Kuala Krai akan dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan, yang akan menjadikan sebahagian daripada denai kembara Lanchang - Kuala Lipis dan Santuari Gajah Kuala Gandah di Pahang sebuah kemudahan pendidikan dan pemuliharaan gajah bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment