Tuesday, January 19, 2010

Elaun sara hidup: Pastikan nelayan layak sahaja

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diminta melancarkan program pemutihan bagi memastikan hanya nelayan yang benar-benar layak mendapat bantuan elaun sara hidup.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, usaha itu penting supaya tidak timbul kes nelayan mengambil kesempatan atas keprihatinan kerajaan sedangkan mereka sebenarnya tidak layak menerima bantuan itu.

Menurutnya, saringan lebih teliti perlu dilakukan bagi mengelak timbul kekeliruan walaupun sehingga kini beliau mengakui belum menerima sebarang aduan mengenainya.

“Kita harap pelbagai pihak berkenaan terutama LKIM, JKKK dan juga persatuan-persatuan nelayan sendiri supaya menjalankan proses pemutihan untuk memastikan hanya nelayan layak sahaja dapat bantuan ini.

“Sekurang-kurangnya, kalau JKKK terlepas pandang, kita masih ada LKIM atau persatuan nelayan untuk memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di Dewan Seberang Takir kelmarin.

Pada majlis itu, sebanyak 473 nelayan menerima bantuan yang disampaikan oleh Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Jelani Hashim. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh.

Mohd. Nasir juga menyarankan supaya LKIM menyediakan peluang menimba kepakaran dalam bidang perikanan kepada nelayan di negeri ini bagi membolehkan mereka mengetahui selok-belok perundangan antarabangsa.

Katanya, langkah itu perlu sebagai panduan nelayan tempatan ketika di perairan supaya mereka tidak melanggar undang-undang antarabangsa sehingga ditahan pihak berkuasa negara lain.

“Nelayan hanya tahu keluar tangkap ikan dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan pengetahuan semasa agar mereka tidak melanggar undang-undang (antarabangsa),” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment