Tuesday, January 26, 2010

Golden Pharos Berhad Lantik CEO Baru

Golden Pharos Berhad (GBP), anak syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Isnin mengumumkan pelantikan Wong Shew Yong, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru syarikat tersebut berkuat kuasa 17 Januari lepas.

Wong, 59, yang juga merupakan anggota lembaga pengarah syarikat itu dilantik menyandang jawatan berkenaan bagi menggantikan Muhammad Nasruddin Salim.

Muhammad Nasiruddin difahamkan meletakkan jawatan yang dipegangnya sejak Mac 2009 itu atas sebab peribadi.

Mengulas mengenai pelantikan berkenaan, Pengerusinya Datuk Zubir Embong berkata pelantikan Wong dilakukan memandangkan beliau merupakan calon yang berkelayakan dan diyakini mampu membawa syarikat itu lebih maju.

"Pelantikan Wong dilakukan memandangkan beliau dilihat merupakan calon yang paling layak dan memahami selok belok masalah dalaman dalam syarikat, sekaligus mampu menerajui syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas antara Muhammad Nasiruddin dan Wong di Bukit Besi di sini dengan turut disaksikan oleh anggota lembaga pengarah syarikat yang lain.

Beliau meminta semua pihak termasuk pihak pentadbiran dan pekerja syarikat supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Wong bagi membolehkan GPB yang disenaraikan di papan utama Bursa Sekuriti Malaysia sejak 1993 itu terus berdaya saing dengan syarikat-syarikat lain.

GPB Group terlibat dalam aktiviti berasaskan pembalakan yang dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.

Aktiviti huluan melibatkan pengurusan konsesi hutan seluas 130,000 hektar mengikut prinsip pengurusan mampan dan kegiatan membalak.

Sementara itu, Zubir berkata tahun ini syarikat tersebut menyasar untuk memperoleh keuntungan yang lebih besar berbanding tahun lepas berikutan keadaan ekonomi global yang semakin pulih.

Bagaimanpun, beliau enggan mendedahkan keuntungan yang telah diperoleh oleh syarikat itu tahun lepas kerana ia belum dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa syarikat itu yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

No comments:

Post a Comment