Sunday, January 3, 2010

Gunting rambut percuma

Menjelang sesi baru persekolahan, ibu bapa pastinya terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan keperluan anak-anak ke sekolah.

Perbelanjaan yang kadang kala mencecah ribuan ringgit apabila mempunyai bilangan anak yang ramai tentunya meresahkan ibu bapa terutama bagi mereka yang berpendapatan kecil dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bagi meringankan beban ibu bapa, Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jerteh mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Bertempat di Pusat Khidmat Sosial KRT di Jerteh dekat sini, seramai tujuh tukang gunting yang terdiri daripada ahli dan ahli jawatankuasa KRT itu menyumbangkan khidmat menggunting rambut pelajar dan juga dewasa.

Pengerusi Jiran Wanita KRT, Teo Huey Lan berkata, tukang gunting yang membuka premis di Bandar Jertih ini turut menyumbangkan khidmat bakti percuma mereka dalam program tersebut.

Katanya, program itu dianjurkan untuk meringankan beban ibu bapa tanpa mengira bangsa dan keturunan terutama mereka yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

"Ini merupakan kali ketiga ia dianjurkan dan mendapat kerjasama baik daripada ahli dan ahli jawatankuasa yang berkebolehan menggunting rambut.

"Walaupun nilainya mungkin tidak besar namun kita sebagai rakyat Malaysia merasa bertanggungjawab dan berpuas hati untuk menyumbangkan tenaga bagi menjayakan semangat 1 Malaysia, "ujarnya.

Lebih 50 kanak-kanak dan orang dewasa menerima khidmat gunting rambut percuma itu yang bermula dari pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

No comments:

Post a Comment