Sunday, January 3, 2010

RM4 juta beli alat automatif

Kira-kira RM4 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membeli peralatan bengkel automotif yang canggih termasuk makmal autotronik yang boleh digunakan pelajar menyelenggarakan kereta masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peralatan bengkel untuk makmal berkenaan akan ditambah pada tahun depan.

Menurutnya, selain pertambahan peralatan, beberapa program baru turut diperkenalkan bagi meningkatkan kemahi­ran belia tempatan dan memberi peluang kerjaya lebih baik.

“Antara program dikenal pasti adalah pembantu rumah tangga, peruncitan, pelancongan (T-Tas) dan tenunan songket tradisional dengan objektifnya memberi peluang luas kepada pelajar untuk diterapkan dalam dunia pekerjaan nanti,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Tesdec, Mustafar Khalid ketika merasmikan Mini Konvokesyen 2009 di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Ahmad Razif berkata, seramai 145 graduan menerima sijil dalam enam kursus berasingan iaitu Kursus Jurutimpal Arka Logam Berperisai, Kursus Juruteknik Elektrik Rendah, Kursus Juruteknik Elektrik, Kursus Pembuat Pakaian Wanita, Kursus Pembuat Pakaian Wanita Kanan dan Kursus Pemasangan Paip Gas.

Menurutnya, pihak kerajaan telah menyediakan peralatan latihan bernilai jutaan ringgit bertujuan membina modal insan yang kuat bagi pembangunan diri dan negara dengan setiap tahun, tidak kurang daripada 1,000 belia menjalani Skim Sangkutan Siswazah Terengganu (T-Gas) sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, menyedari hal itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah membuka dan memberi peluang kepada rakyat di negeri ini pintu ilmu di dalam pelbagai bidang kemahiran yang perlu bagi membina kerjaya dan tamadun.

“Pelajar yang cenderung terhadap kemahiran industri dan perusahaan, kami sediakan peluang di pusat latihan.
"Sehingga kini, lebih daripada 25,000 belia telah dilatih dan mendapat pekerjaan. Ia per­kembangan yang sangat positif,” katanya.

No comments:

Post a Comment