Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu akan memulakan operasi penguatkuasaan terhadap penggunaan tayar toreh atau turut dikenali sebagai tayar korek di negeri ini, dalam masa terdekat.
Penolong Pengarah JKJR Terengganu, Rosmini Sulong berkata, operasi tersebut dilancarkan bagi membendung penggunaan tayar tersebut yang dikenal pasti boleh membahayakan nyawa pemilik kenderaan dan orang lain.
Katanya, kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang ingkar kepada peraturan berkenaan.
"Langkah larangan penggunaan tayar toreh adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya kerana hampir 10 hingga 15 peratus kemalangan berpunca daripada tayar rosak dan meletup gara-gara penggunaan tayar jenis itu.
"Sehubungan itu, kita meminta pemilik kenderaan persendirian agar menukar tayar toreh kepada tayar yang diluluskan oleh Institut Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta mempunyai tanda MS, DOT atau E," katanya semalam.
Sementara itu, katanya, bagi mengatasi masalah pengunaan tayar toreh, pihaknya telah membuat beberapa tinjauan ke kedai tayar di seluruh negeri termasuk di Dungun, Besut dan Jerteh bermula pada September lalu.
Katanya, dalam lawatan tersebut, pihaknya turut mengedarkan poster dan risalah Panduan dan Tips Penjagaan Tayar serta amaran tentang penjualan tayar toreh.
"Dalam lawatan tersebut, pihaknya turut memberi nasihat kepada para pengedar agar tidak menjual tayar toreh kerana berisiko tinggi dan boleh mengundang bahaya.
"Selain pengedar, kita juga memberi nasihat kepada pemandu-pemandu teksi agar tidak menggunakan tayar toreh bagi mengelakkan kemalangan,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment