Sunday, January 10, 2010

TESDEC kolej swasta pertama tawar kursus pembantu rumah

Kolej Pusat Pembangunan dan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) yang terletak di Marang bakal menjadi kolej swasta pertama di negara ini yang memperkenalkan kursus Pembantu Rumahtangga.

Ketua Eksekutif Kolej Tesdec, Che Razali Adis berkata, langkah tersebut diambil bagi mewujudkan perkhidmatan pembantu rumah yang terlatih khususnya di negeri Terengganu.

Kata beliau, bagi tujuan itu, dua tenaga pengajar Tesdec akan dihantar ke Indonesia bagi mengikuti latihan selama tiga bulan di sana berikutan negara tersebut adalah pembekal pembantu rumah terlatih yang paling ramai.

''Modul yang digunakan di Indonesia kemudiannya akan dipraktikkan kepada pelajar yang meliputi penjagaan kanak-kanak, warga tua, penyediaan makanan dan mengemas rumah.

''Dijangkakan dengan adanya kursus secara terlatih dan professional itu lebih ramai golongan muda akan tertarik untuk menceburi bidang itu kerana mereka hanya akan bekerja pada waktu siang hari sahaja,'' katanya selepas Konvokesyen Mini Kolej Tesdec di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Seramai 145 pelajar menerima sijil masing-masing yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Tesdec, Mustafar Khalid yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mereka terdiri daripada lulusan kursus kimpalan, elektrik, pembuat pakaian wanita serta pemasangan gas.

Che Razali berkata, pengambilan pertama kursus selama setahun itu dijangka dimulakan pada Jun depan melibatkan seramai 50 pelajar dengan kelayakan minimum ialah pendidikan sehingga darjah enam.

Katanya, kursus ini dilihat lebih kepada praktikal dalam usaha memberikan latihan secara professional dan apabila tamat nanti mereka akan ditempatkan di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Beliau berkata, kursus Pembantu Rumahtangga merupakan salah satu daripada empat kursus kemahiran baru yang akan diperkenalkan untuk sesi pengambilan pertengahan tahun depan.

No comments:

Post a Comment