Friday, January 8, 2010

KISTAA Mula Ambil 18 Pelatih Juruterbang

Akademi Penerbangan Kolej Islam Sains Teknologi (KISTAA) yang bertempat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini mencipta sejarah pada Rabu apabila menerima 18 pelatih pertamanya untuk menjalani kursus sebagai juruterbang.

Ketua Pegawai Eksekutif KISTAA Zaidi Yusof berkata KISTAA membelanjakan RM10 juta bagi memulakan akademi penerbangan itu dengan menyediakan tiga pesawat jenis Tecnam buatan Itali dengan 15 juruterbang.

"Pelatih di sini akan ditekankan dalam bidang kerohanian dan moral. Kami ingin lahirkan juruterbang profesional dan bermoral," katanya pada sidang akhbar selepas menerima pendaftaran pelatih di akademi KISTAA di lapangan terbang itu.

Beliau berkata syarat yang dikenakan bagi mengikuti latihan di KISTAA ialah mempunyai lima kepujian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains (Fizik).

Pelatih akan mengikuti latihan selama 18 bulan dan akan membuat penerbangan sehingga 200 jam bagi mendapatkan lesen penerbangan.

Zaidi berkata pengambilan pelatih akan dibuat empat kali setahun dan semua pelatih yang terpilih hari ini, ditapis terlebih dahulu oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Kami sasarkan untuk menambah jumlah pesawat antara 20 hingga 30 buah lagi dengan peruntukan kira-kira RM50 juta," katanya.

Sementara itu pelatih tunggal wanita Wan Nadia Fatin Wan Mohd Abdul Amir, 20, yang tinggal di Langkawi, Kedah ketika ditemui berkata beliau ingin menceburi bidang ini kerana ia begitu unik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri.

"Sejak kecil saya telah digalakkan oleh ayah supaya menceburi bidang ini," kata anak jurulatih Akademi Penerbangan Asia Pasifik di Kota Baharu itu.

Wan Nadia yang berasal dari Kemaman, Terengganu berkata sebelum ini beliau pernah mengikuti kursus penerbangan di akademi Penerbangan Integrasi Ipoh.

No comments:

Post a Comment