Friday, January 8, 2010

KPN: Jangan adakan perhimpunan


Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Beliau yang memantau secara serius perkara itu, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.

"Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Inovasi dan Kualiti PDRM di ibunegara semalam.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa NGO yang dijangka berhimpun secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat, esok.

Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonan untuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.

Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katholik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.

Pada 31 Disember, Hakim Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya setelah beliau berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dan ia bukan eksklusif kepada umat Islam..

No comments:

Post a Comment