Saturday, January 23, 2010

KPDNKK Terengganu Sita Premis Karaoke Guna Salinan Langgaran

Pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyita sebuah pusat karaoke kerana didapati mempunyai salinan langgaran dalam bentuk digital.

Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata ketika serbuan yang dilakukan 20 anggota KPDNKK itu, pekerja pusat karaoke tersebut menutup suis server bagi mengelak pihak berkuasa daripada melakukan pemeriksaan.

"Apabila diminta membuka suis server itu, pekerja terbabit memberikan alasan yang dia terlupa kata laluan, menyebabkan pihak kami terpaksa mengambil tindakan menyita barangan terlibat," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini pada Khamis.

Katanya, antara barangan yang turut dirampas ialah cakera keras, monitor, server dan pembesar suara.

Beliau berkata serbuan dijalankan berikutan aduan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang mengesyaki premis tersebut memiliki salinan-salinan langgaran dalam bentuk sistem berkomputer digital yang mengandungi lagu dan karya muzik yang dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Mohd Hilmi berkata pemilik premis berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki salinan-salinan langgaran yang boleh didenda maksimum sehingga RM20,000 bagi setiap satu salinan.

Beliau berkata operasi itu merupakan yang pertama dijalankan di Terengganu tahun ini dan KPDNKK akan terus mengadakan operasi di pusat-pusat hiburan yang lain dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment