Thursday, January 21, 2010

Rombakan Besar Berkuatkuasa 1 Februari

Kerajaan Terengganu membuat rombakan besar-besaran melibatkan 48 pegawai bagi memantapkan pentadbiran selain mengisi kekosongan jawatan.

Pada asasnya, ia dirombak bagi mengisi kekosongan pelbagai jawatan penting, berikutan persaraan Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ Haji Mokhtar Nong.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata semalam, semua pelantikan dan pertukaran jawatan itu berkuatkuasa 1 Februari ini.

Ketika ini Mokhtar sedang bercuti dan tarikh akhir perkhidmatannya ialah pada pertengahan April depan.

Antara yang terlibat ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Adzlan Mohd Dagang yang akan saling bertukar jawatan.

Beliau menyatakan demikian selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu.

Mazlan yang juga Pegawai Kewangan Negeri berkata turut terlibat ialah beberapa pegawai daerah iaitu Pegawai Daerah Dungun Zulkifli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur, sementara tempatnya diisi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Mustofa Abdul Rahman.

Tempat Mustofa akan diisi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husein Embong, katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail akan ditukarkan sebagai Pegawai Daerah Kuala Terengganu, menggantikan Datuk Mohd Alim Muda yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec).

Pengarah Institut Integriti Negeri, Mohd Akil Mat pula akan mengisi jawatan Pegawai Daerah Setiu, manakala Pegawai Daerah Hulu Terengganu Aziz Mamat dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu, dan tempat beliau akan disi Pegawai Daerah Besut Wan Mohd Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar pula akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan tempatnya akan diganti Pengarah Yayasan Terengganu, Md Kamarul Al-Amin Ismail.

No comments:

Post a Comment