Saturday, January 30, 2010

Pandangan Pakar Rujuk Kes Hairuddin

Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Kanak-kanak mengidap ketidaknormalan genetik, Hairuddin Hassan berusia 22 bulan yang dikesan mengidap jantung berlubang perlu mencari alternatif lain merawat penyakitnya itu berikutan berdepan dengan risiko koma berbulan lamanya jika menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang meninjau kanak-kanak malang itu di rumahnya di Kampung Pak Madah, Bukit Payong akan mendapatkan pandangan ketiga atau seterusnya daripada pakar perubatan lain berhubung rawatan perlu bagi merawat pesakit itu.
“Saya akan dapatkan laporan doktor untuk dapatkan pandangan ketiga atau keempat apa yang boleh kita lakukan. Kalau keadaan biasa kita boleh hantar untuk lakukan pembedahan jantung berlubang ini, tetapi oleh kerana masalah lain ia menjadi rumit... doktor juga kata sangat rumit. Sama ada doktor mampu bedah atau tidak. Selain harus tanggung risiko yang tinggi.

“Kalau boleh buat kita akan hantar. Kalau tanggung risiko kita akan biarkan terlebih dahulu. Kita tengok sejauh mana kerana Hairuddin mengalami pelbagai masalah .. jantung, usus,paru-paru dan juga down sindrown..banyak penyakit ada pada dia seorang,” kata beliau di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, petang 26 Januari lalu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga kanak-kanak itu, selain akan membiayai pembelian beg najis untuk kegunaan pesakit yang dibekalkan setiap enam bulan sekali.

Katanya, kos menyediakan beg najis itu agak tinggi dan membebankan keluarga pesakit menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membekalkan alat itu berdasarkan keperluan dan kesesuaian pesakit.

Dalam kunjungan itu, Dato’ Ahmad melahirkan rasa terharu dengan nasib yang menimpa keluarga itu dan mengharapkan mereka bersabar dengan dugaan tuhan. Bagaimanapun, beliau menyifatkan kanak-kanak itu masih bertuah kerana mampu aktif dan bergerak cergas.

Sementara bapa Hairuddin, Hassan Awang, 45, yang bekerja sebagai pemandu lori di syarikat swasta di Kuala Terengganu bersyukur dengan kesanggupan kerajaan negeri meringankan bebanan keluarganya serta mencari pendekatan yang perlu untuk merawat penyakit yang dideritai anaknya sejak lahir itu.

“Saya rasa sedap hati dan lega dengan apa yang Menteri Besar cakap tadi..nak bantu anak saya dan saya yakin kesihatan serta masa depan anak bongsu saya ini akan lebih baik selepas ini..Rasa lega sangatlah” katanya yang mengakui terpaksa berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuantan dua bulan sekali bagi merujuk pakar perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan .

Menurutnya, usaha kerajaan negeri mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan juga suatu yang amat menggembirakan dia dan isteri, Ruhani Sulaiman, 40, berikutan pakar perubatan sebelum ini (IJN) sudah memaklumkan pembedahan jantung tidak mampu dilakukan berikutan risiko tinggi yang harus ditanggung akibat pembedahan itu kelak.

Katanya, faktor pelbagai penyakit yang dihidapi Hairuddin menyukarkan pembedahan jantung dijalankan. Malah, anaknya kemungkinan koma dalam tempoh yang lama jika pembedahan itu dibuat.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berdepan dengan masalah usus dan tiada lubang dubur, selain pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu bagi menebuk lubang najis pada bahagian perutnya yang perlu ditampal beg najis. Selain jantung berlubang, Hairuddin yang mengalami down sindrown juga berdepan dengan saluran paru-paru bocor.

No comments:

Post a Comment