Polis Terengganu memberi jaminan setiap perlawanan Liga Malaysia di negeri itu musim ini akan diberikan kawalan ketat khususnya yang membabitkan perlawanan 'panas'.
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata antara langkah yang akan diambil ialah menambah jumlah anggota polis berpakaian biasa untuk ditempatkan di kalangan penonton.
"Melihat kepada senario tahun lepas, kita perlu mencegah penonton-penonton yang menimbulkan masalah bagi menentukan penonton lain dapat menonton perlawanan dengan selesa," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Mohd Shukri berkata pemeriksaan ketat juga akan dibuat ke atas penonton yang mahu memasuki stadium bagi memastikan mereka tidak membawa barang terlarang.
Polis juga, katanya akan membantu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu mengawasi keadaan semasa jualan tiket bagi mengelak insiden yang tidak diingini.
Pada musim lalu, perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan dicemari perlakuan ganas penonton yang bertindak membaling mercun dan botol air.
Terengganu akan memulakan kempen bola sepak Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment