Tuesday, January 19, 2010

Terengganu Cadang Buka Semula Perlombongan Bijih Besi Di Bukit Besi

Kerajaan negeri Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geologi supaya membuat kajian tentang perkara itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Selepas kajian dibuat dalam tempoh enam bulan dan laporan berhubung perkara itu dibentangkan nanti, baru kita dapat memutuskan sama ada ia akan dibuka kembali.

"Perlombongan ini akan dilakukan dengan usahasama pihak tertentu dengan anak syarikat kerajaan negeri memegang sebahagian besar kepentingannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hampir sehari ke kawasan bekas perlombongan itu di Bukit Besi semalam.

Di zaman era kegemilangan Bukit Besi dahulu pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an, dilaporkan seramai 3,800 orang bekerja di situ sehingga menjadikan Bandar Bukit Besi bandar paling maju di Terengganu sehingga membawa kepada pembinaan pelbagai prasarana untuk menampung keperluan ekonominya.

Bagaimanapun, semua era kegemilangan itu lenyap selepas bahan mineral berkenaan habis dilombong pada 1974.

Namun, kini kawasan itu dikatakan masih mempunyai bahan galian tersebut.

Ahmad, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar keluasan kawasan yang terlibat dengan kajian itu.

Katanya, selain itu kerajaan negeri akan memulihkan infrastruktur dan artifak-artifak lama yang pernah dibina semasa zaman perlombongan sebagai satu tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

"Kita akan minta Jabatan Muzium untuk mewartakan kawasan-kawasan serta artifak yang terlibat sebelum usaha memulihara kembali tinggalan sejarah itu dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment