WWF-Malaysia akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April mengenai keperluan menggubal undang-undang persekutuan yang komprehensif bagi pemuliharaan penyu.
Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius S. K. Sharma berkata penggubalan perundangan persekutuan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, hanya negeri-negeri sahaja mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai penyu.
"Memandangkan kita (Malaysia) masih lagi sebuah negara yang menjadi tempat bagi penyu belimbing bertelur, sudah tiba masanya bagi kerajaan melakukan perubahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan penyu pupus di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen perundangan bagi penyu "Egg=Life" di sini pada hari Khamis.
Katanya Semenanjung Malaysia, terutamanya di Terengganu telah menjadi tempat penyu bertelur. Namun, kehadiran penyu-penyu bertelur berkurangan 80 peratus sejak 1950-an, umumnya kerana pengambilan telur-telur penyu untuk kegunaan manusia.
Justeru, pembangunan satu perundangan yang komprehensif beserta penguatkuasaan ketat dan sumber mencukupi bagi melaksanakan undang-undang seumpamanya amat diperlukan, katanya.
No comments:
Post a Comment