Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa beliau tidak akan melayan sebarang karenah serta perkara remeh-temeh yang boleh membawa kepada perpecahan.
Menurut Hishammuddin, selagi beliau diberi kepercayaan memegang amanah sebagai pemimpin utama UMNO Terengganu, fokus utamanya adalah melihat agenda lebih besar dan melaksanakan program demi kepentingan rakyat negeri ini.
Beliau berkata, dalam meningkatkan sokongan, UMNO Terengganu telah melancarkan gerakan turun ke bawah bagi mendekati rakyat secara habis-habisan dan usaha itu akan dilakukan secara berterusan bukannya bermusim.
Katanya, setelah sembilan bulan memerhati, belajar dan berbincang, beliau lihat UMNO Terengganu berada pada landa-san baik untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negeri ini pada pili-han raya umum akan datang.
“Mesej ini mestilah disampaikan kepada semua peringkat, bahagian lain dan ia hendaklah senada,” katanya pada Program Juara Rakyat bertemakan Pendidikan di Dewan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan barisan kepimpinan UMNO negeri ini.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mesyuarat UMNO Terengganu dipengerusikan oleh beliau malam kelmarin telah memutuskan untuk menyahut seruan program Juara Rakyat.
Pada mesyuarat yang dihadiri semua barisan kepimpinan termasuk sayap parti itu, pihaknya bersetuju menjadikan 2010 sebagai tahun untuk parti dan jentera bergerak melaksanakan aktiviti sehingga ke peringkat cawangan serta akar umbi.
Hishammuddin memberitahu, beliau akan memastikan semua pemimpin tanpa mengira pangkat memegang dan memikul tanggungjawab tersebut supaya UMNO negeri ini semakin berkembang serta mencapai tahap membanggakan.
“Saya bangga dan kagum (kerana) apa yang dilakukan sebelum ini sedikit sebanyak membenarkan kita merancang agenda lebih besar.
“Kalau kita benarkan perkara bersifat peribadi, berkisarkan seorang dua pemimpin, satu dua bahagian menjadi perkara pertimbangan kita, akhirnya agenda besar tidak dapat digerakkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, UMNO memerlukan seorang pemimpin yang sentiasa melihat kepada agenda lebih besar dan ia akan diiktiraf oleh pucuk pimpinan dalam memilih calon BN pada pilihan raya umum akan datang.
“Ini bukan soal individu, kepimpinan atas diputuskan berdasarkan kemampuan, ia bukan kumpulan atau individu kerana yang memutuskan parti nanti adalah rakyat, jadi nasihat saya adalah turun kepada rakyat.
“Sudah ditekankan dalam PRU ini nanti, ia tidak berkisar kepada setiap individu, kepentingan dan relevensinya parti tidak berkisar kepada seorang individu, jadi yang penting sekarang semua pemimpin melihat kepada agenda besar,” katanya.
No comments:
Post a Comment