Tuesday, February 9, 2010

153 bakal bergelar usahawan pisang

Penduduk tempatan terutama petani yang berhadapan kemelut kemiskinan kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menyediakan projek pertanian penanaman pisang secara berkelompok bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Walaupun projek berkenaan tidak boleh membawa keuntungan berjuta ringgit kepada peserta, namun ia dilihat dapat membantu menampung kos keperluan hidup yang semakin meningkat, kesan inflasi terhadap barangan keperluan, selain daripada tanggungan pendidikan anak.

Setiausaha Projek Tanaman Pisang Berkelompok Kampung Padang Pulut, Dungun, Ismail Omar berkata, projek berkenaan dilaksanakan kerajaan bagi menjana pertumbuhan ekonomi penduduk setempat, selain menjadikan kampung mereka sebagai pusat pengeluaran hasil produk pisang terkenal di negeri ini.

“Bagi tujuan berkenaan, kerajaan meluluskan kira-kira 57 hektar tanah terbiar membabitkan 153 peserta yang kesemuanya terdiri daripada penduduk tempatan, terutama mereka berpendapatan rendah.

“Apabila tanaman pokok pisang ini mengeluarkan hasil, ia dijangka dapat menyumbang pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada setiap peserta dan secara tidak langsung membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, peserta, Mohd Nor Mat Hassan, 56, berkata, sebagai penduduk tempatan yang terpilih menyertai program berkenaan berkata, dia nekad memberikan komitmen terbaik dalam usahanya meningkatkan pendapatan keluarga.

Mohd Nor yang juga bilal masjid berkata, dia tidak menghadapi masalah menjalankan projek berkenaan kerana segala peralatan termasuk benih, baja, khidmat nasihat disediakan secara percuma oleh kerajaan.

“Isteri saya hanya menjual kuih dan pendapatan saya sebagai bilal masjid adalah RM400 sebulan, pastinya tidak mencukupi menanggung tujuh anak.

“Justeru, dengan menyertai projek penanaman pisang ini, saya dijangka memperoleh hampir RM1,000 sebulan, sekali gus dapat juga membiayai persekolahan anak,” katanya yang tinggal di Bukit Merah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh yang mengetuai jawatankuasa program itu berharap, projek berkenaan bukan hanya tertumpu kepada penanaman pisang sahaja, sebaliknya akan dikembangkan kepada pelbagai bentuk perniagaan lain berasaskan pisang supaya usaha kerajaan menjadikan ‘satu kampung satu produk’ dapat direalisasikan.

No comments:

Post a Comment