Kes kecurian motosikal mencatatkan indeks jenayah tertinggi di negeri ini dengan purata sebanyak empat hingga lima kes kecurian berlaku pada setiap hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, sejak Januari hingga 3 Februari lalu, sebanyak 189 kes kecurian dicatatkan berlaku di seluruh negeri.
Katanya, walaupun jumlah kes berkurangan dalam tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 274 kes namun ia masih serius kerana kadar penyelesaian rendah.
"Kuala Terengganu merupakan daerah yang paling tinggi berlaku kes kecurian iaitu sebanyak 99 kes diikuti Dungun (27 kes), Marang (18 kes), Kemaman (17 kes), Besut (13 kes), Hulu Terengganu (11 kes) dan Setiu (empat kes).
"Kebanyakan kes disebabkan oleh faktor kecuaian apabila pemiliknya meninggalkan motosikal tanpa dikunci," katanya ketika ditemui Utusan semalam. Beliau berkata, kebanyakan kejadian kecurian berlaku di sekitar tempat awam, rumah ibadat, tempat kerja dan kawasan perumahan.
Tambahnya, kebanyakan motosikal tidak dapat ditemui kerana dipercayai telah dileraikan untuk dijadikan alat ganti.
"Kita percaya kegiatan curi motosikal tersebut dilakukan oleh golongan remaja berusia 17 hingga 23 tahun.
"Mereka mahir meleraikan motosikal tersebut menjadi komponen-komponen kecil dalam masa 30 minit," jelasnya.
Setakat ini, ujarnya, pihaknya telah menahan dua buah kumpulan curi motosikal di negeri itu.
"Kita percaya terdapat puluhan kumpulan curi motosikal ini memandangkan setiap hari ada sahaja kecurian.
"Sempena Tahun Baru Cina ini kita akan mempergiatkan operasi ke semua premis dan bengkel motosikal selain pemantauan di kawasan-kawasan pasar minggu yang sering menjadi tumpuan penjenayah," katanya.
No comments:
Post a Comment