Thursday, February 4, 2010

40 pelumba sahaja mendaftar TWJC

Sumber : Sinar Harian.

Kira-kira 40 pelumba dari seluruh dunia mula mendaftar semalam bagi menyertai Kejohanan Terengganu World Jetrace Challenge (TWJC) 2010 selama tiga hari di perairan Pulau Duyong yang bermula hari ini.

Setiausaha Kehormat Kelab Marina Terengganu, Nor Arjuna Mohd berkata, bagaimanapun, penyertaan pelumba tidak menepati sasaran kerana pihaknya sebelum ini menyasarkan 100 pelumba akan menyertai kejohanan yang pertama kali diadakan di negeri ini.

“Walaupun penyertaan tidak menepati sasaran, namun kami masih berpuas hati kerana bagi setiap kategori kita mendapat sekitar 100 penyertaan disebabkan setiap seorang pelumba menyertai lebih daripada satu kategori.

“Setiap pelumba TWJC 2010 akan berentap dalam sembilan kategori yang dipertandingkan membabitkan pelumba profesional, muka baru dan peserta selebriti,” katanya.
Menurutnya, pada kejohanan berkenaan lapan pelumba Terengganu yang juga ahli Kelab Marina Terengganu Racing Team turut mengambil bahagian termasuk dua pelumba yang kini semakin menyerlah iaitu Ahmad Dawi Alias dan Zulfaizal Shukri.

Nor Arjuna berkata, pelumba dari seluruh Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Pulau Pinang turut menyertai TWJC 2010 kali ini selain pelumba dari Serbia, Thailand, Indonesia, Brunei, United Kingdom dan Singapura.

Mengulas mengenai peluang untuk pelumba tempatan meraih kemenangan memandangkan TWJC 2010 membariskan pelumba handalan termasuk tiga pelumba jet ski terbaik dunia iaitu Amy Green, Chris Fischetti dan Seth Wilkinson, beliau berkata, memandangkan kejohanan berkenaan dibahagikan kepada banyak kategori maka pelumba tempatan juga mempunyai peluang untuk menang.

“Kita yakin pelumba kita juga berbakat dan berpotensi untuk menang dalam beberapa kategori tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment